Sunday, 4 November 2012

Pesanan untuk kita semua

Akhlak Dengan Guru

Setiap manusia memperolehi pendidikan dan pelajaran daripada orang lain. Pendidikan itu diterima dalam bentuk formal dan tidak formal. Orang yang mengajar dan mendidik kita adalah guru dan mereka ini dipandang mulia di sisi agama Islam. Mereka perlu dihormati untuk mendapat keberkatan ilmu.

Antara adab dengan guru:-

1. Mengasihi Guru
Wujudkan perasaan kasih dan cinta terhadap guru yang telah banyak mengajar dan membimbing kita. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya adakala mengecewakan kita. Sebagai bukti kasih, nasihat dan bimbingan guru hendaklah sentiasa menjadi pedoman kita bahkan beberapa akhlaknya yang terpuji menjadi ikutan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Sekiranya mendengar berita yang tidak diingini berlaku ke atas guru segeralah mengunjunginya. Sekiranya mengetahui guru telah meninggal berdoalah untuk kesejahteraannya di alam barzakh.

2. Hormati Dan Rendah Diri
Walaupun guru tidak minta untuk disanjung, janganlah pula guru itu tidak dihormati. Jauhkan diri menghina guru seperti merendahkan kemampuannya atau memberi gelaran kepadanya. Sebagai tanda hormat, jangan mengganggu pengajarannya dengan bercakap-cakap, membuat isyarat ataupun bertanya guru tanpa mendapat keizinannya.

3. Patuhi Arahan
Jangan sesekali membantah arahan guru walaupun dirasakan kurang berfaedah. Segala nasihat guru biasanya ada hikmah disebaliknya. Selalulah berjumpa guru untuk mendapatkan nasihat-nasihat berguna sebagai panduan dan bekalan hidup. Mohonlah keizzinan dari guru sekiranya sesuatu itu memerlukan keizinan.

4. Hubungan Baik
Jalinan sayang pelajar terhadap gurunya adalah sesuatu yang amat baik. Apabila berlaku hubungan baik antara pelajar dan guru, maka akan wujud sifat suka membantu. Sesekali berkunjunglah ke rumah guru untuk menziarahinya ataupun bertanya khabar tentang diriya. Apabila berjumpa di mana-mana, pelajarlah yang semestinya menyapa dahulu.

5 Kesungguhan Belajar
Jangan bersikap acuh tak acuh semasa guru mengajar dan jangan abaikan tugas yang diberinya. Perkara itu amat menyakitkan hati guru. Tunjukkanlah minat  yang tinggi terhadap pengajaran guru dengan mendengar dan memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh dan catatlah ilmu dengan sempurna.

6. Memuliakan Guru
sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, dari kejahilan kepada pengetahuan dan sebagainya. Rasulullah pernah bersabda:

'Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya'
( Baul Hasan Al-Mawardi)

7. Mengenang Jasa Guru
Guru adalah orang yang banyak jasanya kepada kita. Walaupun guru tidak mengharapkan jasanya dikenang tetapi dia akan kecewa sekiranya dia dilupakan.
Janganlah seorang murid berbuat jahat terhadap gurunya. Terdapat banyak kisah dari dahulu hingga ke hari ini berkenaan dengan murid-murid yang jahat terhadap gurunya. Dalam sejarah agama Kristian berlaku pengkhianatan Yudas Iskariot terhadap gurunya iaitu Nabi Isa. Begitu juga dalam dunia Falsafah Greek Kuno di mana berlaku pengkhianatan Alcibiades terhadap Socrates.

Semoga kita semua menjadi anak murid yang terbaik untuk guru kita. Semoga Allah merahmati dan memberkati guru-guru kita.



No comments:

Post a Comment

Sila Komen