Tuesday, 30 October 2012

Mari berpantun....

'Adab Mulia Sekolah Ceria''

Menuntut ilmu satu kewajipan,
Marilah bersama jadikan amalan,
Beradab itu banyak kelebihan,
Disayangi guru dan juga rakan.

Amalkan beradab semasa di sekolah,
Pelajaran dihadapi pastilah mudah,
Sekolah ceria terbela maruah,
Ramailah kawan pasti meriah.


Berakhlak mulia beradab sentiasa,
Menjadi contoh seluruh warga,
Supaya disiplin terus terpelihara,
Mendapat rahmat dan juga pahala.


Sekolahku Syurgaku-tahun 2

Antara Adab Di Sekolah:-

1. Mematuhi peraturan

2. Sentiasa berdisiplin

3. Menjaga kebersihan sekolah

4. Menjaga harta benda sekolah

5. Menghormati warga sekolah

6. Menjaga nama baik sekolah

7. Mematuhi arahan guru

8. Bersedia menolong guru

9. Menumpukan perhatian pada pelajaran

 

Monday, 29 October 2012

Adab tidur

Arahan: Baca bersama-sama rakan.

Amin anak yang baik. Dia sentiasa mengamalkan adab-adab sebelum dan selepas bangun tidur. Kesan daripada amalan tersebut, dia mendapat tidur yang mencukupi. Oleh itu, badannya sihat dan mindanya cerdas. Dia juga mudah menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Berpandukan cerita diatas:
1.Sebutkan faedah daripada amalan Amin.
2. Apakah akibat jika kita mengabaikan adab ini?


Wednesday, 24 October 2012

oh ibu...oh ayah....


Berkati langkahku-Tahun 2

Adab Masuk Rumah:
1. Memberi salam
2. Mengetuk pintu
3. Membuka kasut
4.. Berdoa
5. Melangkah dengan kaki kanan

Adab Keluar Rumah:

1. Berpakaian menutup aurat
2. Meminta  izin
3. Memakai kasut
4. Berdoa
5. Melangkah dengan kaki kanan
                                                                                                          
* Amalkanlah adab-adab masuk dan keluar rumah. Antara kelebihan mengamalkannya:-
1. Dilindungi dan di selamatkan Allah.
2. Seluruh anggota keluarga mendapat keberkatan.
3.Maruah diri terpelihara.
4. Dihormati dan dicontohi masyarakat.                                                          





Tuesday, 23 October 2012

Akhlak Dengan Ibubapa

Islam telah meletakkan martabat ibubapa pada tempat yang tinggi. Sesungguhnya tidak ada agama lain yang mengangkat darjat dan martabat ibubapa setinggi yang diletakkan oleh Islam. Perintah berlaku baik terhadap ibubapa adalah selepas beriman kepada Allah.
Ibu bapa adalah orang yang pertama dan teristimewa dalam hidup kita selepas Allah dan Rasul. Kedurhakaan kepada ibubapa seolah-olah kedurhakaan kepada Allah. Begitu juga dengan keredhaan mereka adalah keredhaan Allah, oleh itu kita wajiblah berakhlak kepada mereka dengan akhlak yang sebaik-baiknya.
1. Berbuat baik kepada kedua ibubapa
Berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah merupakan satu perkara yang paling mulia dan amat dituntut oleh Islam. Inilah akhlak yang paling utama antara hubungan manusia dengan manusia.
Betapa agama Islam amat menekankan berbuat baik kepada ibubapa sehinggakan Rasulullah pernah tidak mengizinkan seorang lelaki yang mempunyai ibubapa dari keluar berhijrah dan berjihad bersama baginda.

2. Mengutammakan ibu kemudian bapa
Al-Quran dengan jelas memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibubapa. Walau bagaimanapun dalam masalah keutamaan, ibu lebih diutamakan daripada bapa. Keutamaan ini memandangkan keperitan ibu mengandung, melahirkan dan membesarkan anak berbanding dengan bapa. Keutamaan ibu dapat dijelaskan lagi dalam hadis berikut:-

Pada suatu waktu datang seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sambil berkata:
 Siapakah yang lebih berhak menerima perkhidmatanku?Lalu Rasulullah menjawab; "Ibumu". Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa pula? Rasulullah menjawab :"Ibumu". Tanya lelaki itu lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Rasulullah: "Ibumu". Soal lelaki itu Kemudian siap lagi? Rasulullah menjawab: "Bapamu".
(Muttafaqun Alaih)

3. Terus berbakti kepada ibubapa walaupun mereka telah meninggal
Terdapat beberapa perkara yang semestinya seseorang anak lakukan sesudah kematian ibubapanya. Antaranya:
-menyembahyangkan jenazahnya. kalau dia seorang anak lelaki lebih utama dia yang mengimamkan sembahyang jenazah tersebut serta membacakan doanya.
-hendaklah berdoa kepada kedua ibubapanya memohon keampunan dari Allah terhadap segala kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh ibubapanya semasa hayat mereka.
-menunaikan janji yang belum sempat ditunaikan oleh ibubapanya dengan syarat janji atau wasiat itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

4. berbuat baik kepada ibubapa walaupun mereka bukan muslim
Islam tidak pernah menghalang seseorang anak terus berhubung dan berlaku baik dengan ibubapa yang belum terbuka hati untuk memeluk Islam.
Seperkara yang perlu diingat berhubung dengan ibubapa yang bukan beragama Islam sesudah mereka meninggal dunia ialah anak yang muslim tidak boleh berdoa kepada mereka seperti mana seorang anak berdoa kepada ibubapanya yang muslim.

5. Tidak menderhaka kedua ibubapa

Derhaka kepada ibubapa termasuk dalam dosa besar. Ia juga akan menyebabkan semua amalan kebaikannya menjadi sia-sia, tidak bermanfaat di hari akhirat nanti.

Saturday, 20 October 2012

Adab Dan Akhlak Islamiah

Nota hari ini....

Adab Tidur ( Baca dan amalkan)

Adab sebelum tidur

1. Memakai pakaian yang sesuai

2. Mengosok gigi

3. Mengambil Wudhu'

4. Bersalaman dengan ibu bapa

5. Mengibas tempat tidur

6. Membaca doa'



Wednesday, 17 October 2012

Peperiksaan penggal 2


Hari terakhir Peperiksaan penggal 2, 2012
Semoga berjaya kepada semua anak murid SK Kimondou, Ranau

Falsafah Pendidikan Islam



Falsafah Pendidikan Islam

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang memppunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara kearah mencapai kebaikan di dunia 
                                                      dan kesejahteraan abadi di akhirat.


Berdasarkan pernyataan Falasafah Pendidikan Islam di atas, maka kita dapat fahami dan ketahui bahawa Falsafah Pendidikan Islam ialah suatu usaha yang berterusan di dalam proses menyampaikan ilmu, membentuk kemahiran dan memupuk penghayatan Islam berdasarkan Al Quran dan As Sunnah sepanjang hayat. Falsafah Pendidikan Islam bermatlamat untuk melahirkan muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah ke arah menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa. Di samping itu ia juga bertujuan untuk meghasilkan insan yang yang berilmu, berkeperibadian mulia, berkemahiran dan bersikap positif untuk mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Dasar penggubalan Falsafah Pendidikan Islam dan juga sukatan pelajaran Pendidikan Islam adalah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini adalah kerana untuk menjamin supaya sesuatu dasar pendidikan yang digubal itu tidak hilang matlamat asalnya iaitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Di samping itu, beberapa tujuan Pendidikan Islam ialah:-

i)                    Untuk membantu pembentukan akhlak yang mulia,
ii)                  Persiapan untuk kehiduppan dunia dan kehidupan akhirat,
iii)      Persiapan untuk mencari rezeki dan pemeliharaan darisegi kemanfaatan,
iv)          Menumbuhkan roh ilmiah kepada para pelajar dan memuaskan keinginan erti untuk mengetahui,
v)               Menyiapkan para pelajar dari segi professional teknikakan perusahaan supaya ia dapat menguasai profession tertentu, supaya ia dapat mencari rezeki dalam hidup dan hidup dengan muliadi samping memelihara dari segi kerohanian dan keagamaan.




Tuesday, 16 October 2012

'Mendidik Akhlak Mulia'

Blog ini diwujudkan bagi meningkatkan cara pengajaran dan pembelajaran yang sesuai seiring dengan perkembangan pendidikan melalui kemajuan ICT. Di samping itu ia juga akan dapat memberikan impak kepada saya dan juga murid di dalam menguasai kemajuan teknologi pendidikan. Beberapa kepentingan mengapa kita memerlukan teknologi di dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah memberikan motivasi kepada murid untuk belajar, menyukai pembelajaran, ingin mempelajari lebih dari yang diperlukan .Teknologi juga boleh digunakan untuk menggantikan kaedah pembelajaran secara tradisional ke arah persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan. Akhir sekali diharapkan dengan wujudnya blog ini maka ia dapat memberikan manfaat yang berguna kepada kita semua.